Pasa zahirnya, salji memang menyeronokkan.
Dan bila ia sedang turun, suasana amat nyaman dan indah.
Tapi bagi orang Asia seperti Azrul, kadangkala kesejukan yang ditawarkan tidak tertanggung.
Itu yang terjadi di Copenhagen, Denmark pertengahan Disember tempohari.
Pengalaman bukan setakat membuat liputan Climate Change Conference, tetapi pertama kali berada dalam suhu sekitar -10 darjah Celcius.
Nak jadikan cerita, Azrul dan jurukamera Aslah serta juruteknik, Wan Jefri, dipaksa beratur dalam kesejukan untuk pendaftaran. Keazaban yang perit sejak jam 9 pagi hingga hampir 2 petang.
Bukan saja pasal kesejukan. Tapi liputan di sana itu antara yang paling tenang dalam sejarah Azrul, meskipun terpaksa memantau rapi jadual Perdana Menteri dan isteri.
Azrul juga menghargai budi yang ditabur tuan rumah yang diinapi sepanjang di Copenhagen iaitu Amanda, walaupun tidak sempat bersua muka.
Sayang sekali, tidak banyak gambar yang diambil sepanjang sesi tugasan kali ini.
Saturday, December 26, 2009
Monday, September 14, 2009
Ikon kah?

Semasa diajak menyertai kumpulan juri untuk program Penyampai Ikon, Azrul anggap ia satu peluang menjelajah Malaysia. Azrul tahu dia tidak terlalu senior untuk duduk di kerusi juri, namun Azrul rasa dia ada pengalaman yang cukup sebagai pemerhati dan juga sebagai penyampai sendiri.Walaupun ada yang pertikai kenapa Azrul dipilih sebagai juri tapi Azrul cuba (walaupun susah) untuk keluarkan di telinga kiri. Inilah namanya rezeki. Kalau ada yang tak puas hati, suka la hati.
Yang pasti, banyak Azrul pelajari dan teladani dalam tempoh 5 bulan jelajah itu berlangsung. Dari Kota Kinabalu ke Kuching, Kuantan ke Kuala Terengganu, kemudian ke Kota Bharu, Alor Setar, Pulau Pinang, Johor Bharu dan sampai semula ke Kuala Lumpur, pengalaman yang dikumpul sangat menerujakan.Melihat dan melayan kesungguhan serta keberanian ribuan peserta ujibakat, sememangnya menuntut pelbagai emosi.Masing-masing datang dengan seribu satu kisah yang adakalanya sangat menyentuh perasaan.
Semuanya mengajar Azrul untuk bersyukur dengan apa yang dia ada, dan sedar bahawa ada lagi insan lain yang lebih terdesak. Azrul juga percaya, tuah dan rezeki memainkan peranan yang sangat siginifikan dalam mana-mana ujibakat.Kadang-kadang kalau bakat memang hebat, tapi tiada rezeki, nasib belum menyebelahi. Dalam dunia penyiaran juga, walaupun tidak mahu diakui, rupa adalah di tempat teratas. Rupa juga adalah faktor terpenting dalam penilaian.
Disebabkan Penyampai Ikon ini ibarat batu loncatan untuk masuk ke dalam industri ini, jadi pemilihan dibuat secara terperinci. Kepada 17 calon yang berjaya, setiap daripada mereka ada kelebihan masing-masing, walaupun masih belum layak digelar ikon.
Azrul ada dengar, ramai yang tak puas hati dengan program ini, khususnya mereka yang tidak dapat membabitkan diri dalam pemilihan atau senior-senior yang rasa kedudukan mereka goyah dengan kehadiran "ikon-ikon" baru. Tolonglah jangan jadi bodoh dan cetek akal. Rasa cemburu memang tak boleh dielak, tapi semua kena sedar, tak selamanya kita berada di tempat yang kita selesa. Kalau kita betul-betul bagus dalam kerja kita, datanglah berjuta "ikon" pun, tak perlu khuatir dan berdendam. Percaya pada rezeki, fahami karma dan berusaha dengan cara yang betul.
Apa pun yang telah berlaku, Azrul hargai semua pengalaman yang dikaut sepanjang program ini. Terima kasih atas kepercayaan Kak Nani. Seronok habiskan masa dengan Kak Su, Kak Lela dan Kak Mai. Kenangan menggembirakan bersama Kak Ita, Shah, Fathil dan Ila. Juga semua yang terlibat.
"Bijak Jauhari Wibawa"
Wednesday, August 19, 2009
Cintan Cintun

Nak dengar cerita? Pasal cinta. Lelaki dan wanita. Tapi nanti bosan pula. Sebab jalan ceritanya tipikal. Stereotype. Macam drama bersiri petang-petang tu. Tapi kalau tak dicerita, cerita-cerita sebegini akan tetap jadi nyamuk dekat cuping telinga. Senang cerita, berikut adalah ringkasan cerita. Tak perlu tunggu episod ke 100 pun...
Polan bin polan dengan polan binti polan. Polansss. Heh. Mereka bercinta macam nak terbalik dunia. Siap buat kertas kerja, kahwin bila, anak berapa. Lebih kritikal, mereka sudah ada layout ruang tamu dan bilik tidur bersama. Alih-alih, tak nampak ribut, tak dengar taufan, mereka putus. Habis. Finito!
Musykil tahap dewa ke-19, ramai cuba mengorek. Al maklum, pasangan popular sehati berdansa macam mereka ini, naik mual berkepit sana-sini. Jadi bila sudah tidak lagi serasi bersama, riuhlah mulut-mulut yang suka tanak nasi tambah.
Ketahuan dek semua, si kerabat Hawa rupanya yang bermain kayu-kayan. Terjumpa mamat yang lebih kaya dan ada sebiji Waja 1.8.... Ok apa Waja...
Kecewa bersulam durja lah si polan bin polan tadi. Tunggang terbalik dunianya kerana terlalu bersandar pada harapan dan prospek masa depan bersama wanita pujaan hati yang rupanya bersultan di mata...
Begitulah ceritanya....Tipikal bukan? Jadi apa yang kita boleh belajar daripadanya? Perempuan semua mata duitan? Atau cinta itu rabun? Atau lelaki pemuja yang setia? Atau awek sekarang pantang nampak balak pakai Waja?
Apa saja spekulasi, tolong simpan dalam poket. Ini bukan masa untuk jaja kisah lama, atau ungkit benda yang dah jadi. Polan bin Polan sepatutnya jangan bebalkan diri, menunggu buah yang takkan jatuh. Mungkin kenangan terindah sukar dilupa. Tapi bersunat pun sukar juga. Dapat pula diatasi. Justeru mengapa perlu ditangisi orang yang dah buta hati? Biarkan si Luncai itu terjun dengan Waja-nya....
Lelaki harus kuat. Ego kan ada. Gunakan sebaik mungkin. Pedih memang pedih. Bunga Citra Lestari bukan sekuntum....
Perempuan harus tahu, lelaki tidak arif pasal hal cintan cintun. Pada kami, cinta itu tak payah ditanam dekat pinggir bibir. Tidak perlu didebat dan dibicarawarakan. Kalau kami rasa cinta, kami rasalah... Dan ia akan lahir dalam perlakuan kami yang selalunya tidak dibuat-buat... Sebab kami tak baca majalah untuk tahu hati budi wanita, kami tak ambil kuiz untuk kenalpasti siapa yang terbaik jadi suri hidup kami. Jadi bila kami jatuh cinta, ia sangat tulus. Titik.
Sebab itu si polan bin polan tadi tersentak dan patah hati pecah berderai bom meletup. Lepas jumpa wanita yang mencuri hati, matlamat hidup dia terus jadi satu. Tak fikir benda lain dah. Berbeza dengan yang perempuan, konon mahukan suami-of-the-year, jadi pilihan mereka sentiasa terbuka, walaupun sudah ada yang terbaik depan mata. Patutnya terimalah seadanya... Motor kapcai pun apa salahnya, lepas kahwin nanti usaha sama-sama, bina kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya.
p/s : Bukan semua lelaki buta seni, bukan semua wanita tak pandai tukar tayar pancit...
Saturday, April 4, 2009
Yang ke-6

Bukan senang untuk melihat sendiri sejarah berlaku depan mata.
Semasa Tun Mahathir menyerahkan jawatan kepada Tun Abdullah pada 2003, perasaan sedih dan hiba berbeza.
Dan ketika Tun Abdullah bertukar posisi dengan Datuk Seri Najib tempohari, kehibaan itu tidak sedahsyat dulu.
Sebaliknya, perasaan dikuasai pengharapan.
Moga Datuk Seri Najib punya bahu yang kuat, kerana galas yang perlu beliau tanggung bukan calang-calang.
Terima kasih juga kepada Tun Abdullah atas segala teladan yang diberikan.
Kadang-kadang adalah perlu untuk kita lihat kesilapan, dan belajar daripadanya.
Kini, perubahan atau transformasi sedang dinanti rakyat jelata.
Harapnya akan ada lebih banyak kejutan yang berani.
Kejutan yang tidak terfikir oleh kami.
p/s - Tun Razak nombor 2, Tun Mahathir nombor 4, Najib nombor 6... Mengharap tuah angka genap.
Monday, March 23, 2009
persepsi penyampai berita
Apabila ada orang memperkecilkan kerja atau tugas orang lain, hanya kerana mereka cemburu, ia sesuatu yang amat jahil.
Memang tugas sebagai penyampai berita nampak glamor. Tapi disebaliknya, ia bukan tugas mudah dan yang pasti, bukan semua orang boleh buat.
Untuk berada di hadapan kamera, secara langsung, nampak yakin, tidak salah sebutan, ekspresi tepat.... bukan kerja senang. Percayalah.
Apalagi, pada masa sama, telinga diserabuti dengan arahan-arahan saat akhir dan riuh rendah dalam control room.
Nak lagi teruk, otak kena peka, tangan kena bersedia dengan skrip, kaki kena kawal prompter.
Jadi, bayangkan sendiri kalau anda berada di tempat kami.
Bukan nak menagih simpati, tapi harap difahami, kalau berlaku kesilapan kecil, itu bukan dalam kawalan kami.
Memang produksi berita itu, sangat bersandarkan kepada penyampai berita sebagai individu di muka hadapan.
Tapi kalau bahan yang disediakan penerbit kelam-kabut dan susunan aliran berita editorial yang lintang pukang, penyampai berita juga yang nampak tolol.
Jadi, apa kata semua penerbit dan mereka yang di belakang tabir di beri peluang untuk merasa pengalaman menyampai berita secara langsung. Supaya mereka dapat rasa sendiri kesukaran di sebalik glamor yang dicanang.
Kalau rasa tak boleh buat, jangan kritik tugas orang lain membabi buta. Masing-masing ada tugas masing-masing. Dan semua orang main peranan penting untuk kejayaan sesuatu produksi berita.
Ini tidak. Kalau apa-apa berlaku, salahkan penyampai. Sasaran mudah. Padahal, isi kandungan berita yang sucks!
Sewajarnya, kita hormati tugas semua, walaupun sekecil mana. Kalau cemburu pun, ambil dari segi positif, kritik membina dan jangan cakap belakang sesedap rasa.
Berani kerana benar la beb.
Thursday, January 8, 2009
Ratapan azrul untuk Gaza

Kalau bumi Palestin itu boleh berbicara, ia akan memilih untuk meraung
Nyaringnya setanding sengkakala
Kalau darah rakyat Palestin jadi laut, bumi mungkin sudah lemas
Membobok dalam sesal
Kalau Israel jumpa dengan palat, ia akan nampak persamaan
Keji dan hina bersatu padu
Rasional si jahanam Tel Aviv hanya iblis yang setuju
Hanya dajal yang mengerti
Durjana berlapis-lapis
Nafas Gaza kian mencungap
Perutnya diletup hancur
Isinya dirobek-robek
Terburai sampai bernanah
Kemanusiaan diinjak-injak
Simpati tak ke mana
Mohon pada yang Esa
Palestin terus cekal
Hingga Israel bertemu dengan ruas
Pembalasan maha agung
(azrul amila amir 8 Januari 2009)
Friday, December 5, 2008
krisis global azrul

**gambar hiasan
azrul bukanlah sebijak kancil ataupun.... my-vi
azrul sentiasa mencuba untuk mengintelligentkan diri.
tapi azrul tak betah pandai sendirian.
untuk itu azrul nak kongsi sesuatu yang sangat membuka minda.
ayuh...iqra'...
SETELAH KEHANCURAN SOSIALIS-KOMUNIS, KAPITALISME KINI MENUJU PERKUBURAN, HANYA ISLAMLAH SATU-SATUNYA PILIHAN...
Ekonomi dunia kini berada di ambang kemelesetan. Bermula dengan krisis hartanah yang melanda Amerika dan kejatuhan nilai gadaian yang mengakibatkan peminjam tidak mampu membayar hutang, kemudian krisis ini semakin merebak menyebabkan bank-bank utama serta syarikat kewangan menjadi muflis atau sedang berada di ambang muflis. Sebelumnya, bank-bank dan juga syarikat kewangan menumpukan perhatian mereka kepada sektor hartanah yang sedang berkembang dan menjanjikan keuntungan lumayan. Akhirnya, bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan ini jatuh tersungkur dan membawa yang lain rebah bersamanya. Amerika seolah-olah kini sedang demam dan bersin, lalu virusnya merebak ke seluruh dunia dan menyebabkan seluruh dunia demam.
Beberapa sektor kewangan menganggarkan kerugian yang disebabkan oleh krisis gadaijanji hartanah mencecah hingga USD300 bilion di Amerika Syarikat sahaja, dan sebanyak USD550 bilion di luar Amerika. Natijahnya beberapa negara terutama negara kaya yang terjejas telah memberikan suntikan modal kepada pasaran kewangan supaya dapat memulihkan keyakinan pelabur dan memberi kecairan tunai untuk merangsang aktiviti perekonomian. Malahan, sesetengah negara telah campur tangan secara langsung dengan memiliknegarakan bank-bank tertentu, sebagaimana yang dilakukan oleh Britain.
Semua ini membawa maksud bahawa asas-asas penting ekonomi Kapitalis, pasaran bebas dan dasar tidak campur tangan negara (laissez-faire) dalam ekonomi telah musnah. Dua unsur ini merupakan kepercayaan asas para Kapitalis. Malahan, Dewan Senat Amerika Syarikat pada bulan Disember 1999 telah meluluskan akta yang melarang sebarang bentuk kekangan ke atas sistem kewangan dan mengumunkan bahawa pasaran kewangan adalah bebas walau apa pun harganya. Akhirnya, kerosakan dan kesalahan asas-asas tersebut dimanifestasikan sendiri oleh pihak yang memasarkan ideanya (yakni) Amerika. Amerika telah mengumunkan campur tangan negara dalam pasaran, setelah Dewan Senat dan Kongres meluluskan pelan oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Henry Paulson, agar menyuntik USD700 bilion untuk membeli instrumen kewangan oleh bank-bank dan syarikat kewangan yang terjejas dalam pasaran gadai-janji hartanah. Dan dalam masa singkat setelah diluluskan, Setiausaha Perbendaharaan Amerika telah melaksanakan pelan tersebut. Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa setelah berkuburnya sistem Sosialis-Komunis, sistem Kapitalis pula kini sedang menuju perkuburannya.
Perkembangan ini telah memaksa dunia menggembleng usaha. Empat negara utama di Eropah, Perancis, German, Britain dan Itali telah mengadakan pertemuan dan mereka menggesa suatu pertemuan yang lebih menyeluruh untuk mengkaji semula sistem ekonomi. Begitu juga dengan Menteri Kewangan dan pegawai-pegawai bank pusat negara G7 (atau G-8 jika Rusia disertakan) telah mengadakan pertemuan tergempar di Washington. Walau apa pun usaha dilakukan, namun apakah usaha-usaha tersebut mampu memulihkan ekonomi Kapitalis sebagaimana yang diharapkan?
Para pemerhati perkembangan sistem Kapitalis dapat melihat bahawa sistem ekonomi ini kini sedang berada diambang kehancuran, jika pun ianya belum hancur lagi. Apa sahaja usaha pada saat ini untuk menyelamatkan sistem yang ada hanya dapat 'melegakan kesakitan' untuk suatu masa yang singkat sahaja. Ini kerana sebab-sebab kejatuhannya memerlukan baik pulih mendasar (overhaul) atas asas utama sistem ekonomi Kapitalis itu sendiri dan bukan sekadar memulihkan simptom-simptom yang dihadapinya. Di dalam memperkatakan tentang kehancuran ini, terdapat empat faktor utama yang merupakan asas sistem ekonomi Kapitalis yang perlu diperhatikan:-
Pertama: Kapitalisme telah memansuhkan emas sebagai sandaran/piawaian utama mata wang dan memperkenalkan mata wang dolar sebagai sandaran setara mata wang dunia selepas tamatnya Perang Dunia Kedua di bawah perjanjian Bretton's Wood dan kemudiannya penggantian sepenuhnya emas dengan mata wang dolar Amerika di awal tahun 1970. Praktik ini menyebabkan ekonomi dunia begitu terdedah kepada keadaan ekonomi di Amerika syarikat. Ini kerana mata wang di kebanyakan negara di dunia, jika tidak semua, diikat dengan mata wang AS dan bukannya dengan emas, walaupun hakikatnya nilai mata wang AS hanyalah tidak lebih dari sehelai kertas yang dicetak di Amerika. Walaupun selepas diperkenalkan mata wang Eropah, dolar AS masih mengekalkan pengaruhnya, kerana kebanyakan mata wang dunia masih terikat dengan dolar. Selagi mana emas tidak dijadikan sebagai sandaran mata wang, selagi itulah dunia tidak akan bebas dari berulang dan berulangnya krisis ekonomi. Sebarang kejutan nilai dolar akan secara langsung menggoncang ekonomi negara-negara lain di dunia. Malahan dasar ekonomi Amerika Syarikat akan memberi kesan ke atas ekonomi di luar negara Uncle Sam tersebut.
Kedua: Pinjaman berasaskan riba telah menyebabkan kerumitan ekonomi. Walaupun nilai pokok pinjaman berserta riba sedikit demi sedikit berkurangan setiap masa, namun dalam banyak keadaan, individu atau negara tidak mampu membayar hutang mereka (kerana riba). Aktiviti ekonomi menjadi lembap disebabkan ketidakmampuan kebanyakan pihak untuk membayar hutang (campur riba) dan ini akan memberi kesan langsung kepada pengeluaran.
Ketiga: Sistem dan praktik pasaran kewangan dan bursa saham membeli dan menjual saham, instrumen kewangan dan komoditi yang tidak memerlukan 'pemilikan barang' (possession of goods). Malahan ianya dijual dan dibeli berulang-ulang kali tanpa berlakunya pemindahan pemilikan dari penjual kepada pembeli. Praktik ini tidak sah (haram) di sisi Islam. Ia menimbulkan lebih banyak kesukaran dari penyelesaian, kerana ia menyebabkan nilai barang meningkat dan jatuh, walaupun hakikatnya barang-barang tersebut tiada dalam pemilikan. Semua ini mengundang ketidakstabilan dalam pasaran kerana keuntungan dan kerugian yang dialami adalah berdasarkan jalan spekulatif. Semua ini akan berulang tanpa disedari sehinggalah berlakunya krisis ekonomi.
Keempat: Yang paling penting adalah tiada kefahaman akan realiti pemilikan (ownership) baik di pihak negara-negara Timur mahupun Barat. Di bawah Ideologi Sosialis-Komunis, semua pemilikan adalah berkisar kepada negara manakala di bawah Ideologi Kapitalis, semuanya adalah hak milik individu tanpa campur tangan negara, kerana fahaman Kapitalis memasarkan idea pasaran bebas. Keadaan ini semakin sukar dan membarah di bawah globalisasi.
Kejahilan terhadap realiti ini menyebabkan dunia mengalami kegoncangan dan krisis ekonomi. Ini kerana hak milik tidak sepatutnya dibolot baik oleh negara atau pun individu-individu sahaja. Sistem Ekonomi Islam berbeza sama sekali dengan sistem ekonomi kufur buatan manusia di atas. Sistem ekonomi Islam adalah sempurna kerana berasal dari wahyu, dan dari segi pemilikan, ia menerangkan kepada kita bahawa terdapat tiga jenis pemilikan:-
(i) Hak milik umum: meliputi mineral-mineral dalam bentuk pepejal, cecair dan gas termasuk petroleum, besi, tembaga, emas dan sebagainya yang didapati sama ada di dalam perut bumi atau di atasnya, termasuk juga segala bentuk tenaga dan intensif tenaga serta industri-industri berat. Semua ini merupakan hak milik umum dan wajib diuruskan (dikelola) oleh negara manakala manfaatnya wajib dikembalikan kepada rakyat
(ii) Hak milik negara: meliputi segala bentuk bayaran yang dipungut oleh negara secara syar'ie dari warganegara, bersama dengan perolehan dari pertanian, perdagangan dan aktiviti industri, di luar dari lingkungan pemilikan umum di atas. Negara membelanjakan perolehan tersebut untuk kemaslahatan negara dan rakyat
(iii) Hak milik individu: selain dari kedua jenis pemilikan di atas, harta-harta lain boleh dimiliki oleh individu secara syar'ie dan setiap individu itu perlu membelanjakannya secara syar'ie juga.
Jika ketiga-tiga jenis pemilikan ini dijadikan sebagai satu dan diletak sama ada sebagai pemilikan negara atau individu, sungguh krisis dan kegagalan tidak akan dapat dielak lagi. Kedudukan salah inilah yang sebelum ini telah menyebabkan kehancuran sistem ekonomi Komunis kerana mereka meletakan seluruh pemilikan sebagai hak milik negara. Akibat pengagihan yang tidak betul di dalam sistem ekonomi Komunis, harta yang secara semula jadinya dimiliki oleh negara seperti petroleum dan industri berat telah membawa kepada kejayaan ekonominya, sebaliknya harta yang secara semula jadinya dimiliki oleh individu seperti pertanian, perdagangan dan industri kecil telah mengundang kegagalan yang menyebabkan keruntuhan sistem ekonomi mereka.
Begitulah juga nasib yang menimpa sistem ekonomi Kapitalis yang sedang diambang keruntuhan ini. Ini disebabkan ia meletakan pemilikan umum seperti petroleum, gas dan sumber tenaga, industri berat malahan industri ketenteraan kepada individu dan syarikat-syarikat, sementara negara menjauhkan diri untuk campur tangan di dalam pasaran, menghalang dirinya dari memiliki sesuatu yang sepatutnya menjadi hak milik negara. Semuanya adalah atas nama pasaran bebas, laissez-faire, berkecuali dan globalisasi. Kesannya dapat kita lihat sekarang yang sudah tidak dapat dielakkan lagi, berulangnya kemelesetan ekonomi, kejatuhan mendadak pasaran kewangan dan juga kejatuhan syarikat-syarikat korporat satu demi satu.
Setelah kegagalan Ideologi Komunis dan sekarang Ideologi Kapitalis pula sedang mengikuti langkah kehancuran yang sama. Sebagai Muslim, kita hendaklah yakin dan tidak ragu sedikit pun bahawa hanya sistem Islamlah satu-satunya yang mampu mengubati dan menghindari dari berlakunya krisis ekonomi. Ini kerana sistem ekonomi Islam mengharamkan faktor-faktor yang boleh mengundang berlakunya krisis ekonomi.
Islam menetapkan hanya emas dan perak sahajalah sebagai sandaran kewangan. Sebarang bentuk mata wang yang dikeluarkan mestilah disandarkan kepada emas dan perak dan boleh ditukar di atas permintaan. Mata wang kertas sesebuah negara tidak boleh diikat dengan mata wang sebuah negara yang lain. Setiap mata wang negara mestilah tidak bergantung kepada mata wang lain dan ia perlu memiliki nilai yang tetap, tidak boleh ubah dan nilai intrinsik.
Islam juga mengharamkan riba dalam apa bentuk sekalipun dan menganjurkan pinjaman kepada orang yang memerlukan tanpa riba atas jumlah asal (prinsipal). Islam menjadikan perbendaharaan negara, Baitul Mal, kekal sebagai satu struktur pemerintahan yang tersendiri untuk memberikan pinjaman tanpa riba kepada siapa sahaja yang memerlukan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan.
Islam juga mengharamkan proses jualan barang sebelum pembeli memperolehinya, yang bermakna Islam mengharamkan transaksi barang yang tidak dimiliki. Islam juga mengharamkan transaksi dalam instrumen kewangan, pasaran hadapan dan saham yang dihasilkan dari kontrak yang tidak sah dan juga yang bersifat jual-beli spekulatif. Sebaliknya semua perkara tersebut dibenarkan dalam ekonomi Kapitalis.
Islam juga mengharamkan mana-mana individu, syarikat dan badan korporat dari diberi hak milik harta-harta yang datang dari pemilikan umum seperti petroleum, mineral, sumber tenaga, tenaga elektrik dan sebagainya. Sebaliknya Islam mengamanahkan negara agar mengurusinya menurut hukum syarak. Ini bermakna sistem ekonomi Islam telah mengenal pasti dan mengubati semua masalah ekonomi dan krisis yang disebabkan oleh sifat tamak manusia. Inilah sistem yang diperintahkan oleh Pencipta alam semesta, Dialah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk makhluknya. FirmanNya,
"Apakah Allah yang Menciptakan itu tidak mengetahui? Walhal Dia Maha Halus Maha Mengetahui" [TMQ al-Mulk (67):14].
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Allah SWT telah mengurniakan kalian kemuliaan dengan deenul Islam yang diturunkanNya melalui Rasulullah SAW dan Dia juga telah memberi amaran kepada kalian melalui wahyuNya. Hanya kerana Islamlah kalian dikeluarkan untuk menjadi umat yang terbaik di kalangan manusia. Kemuliaan dan kesejahteraan kalian bergantung kepada pelaksanaan deenul Islam sebagai cara hidup. Dan kesejahteraan ini bukanlah untuk kalian sahaja, tetapi untuk seluruh manusia, setelah manusia menanggung dan terus menanggung kekejaman di bawah kejahatan sistem buatan manusia. Tambahan lagi, penerapan cara hidup terbaik ini tidak akan mampu direalisasikan selagi Al-Quran diketepikan, dan selagi tidak ada sebuah Negara yang akan menerapkan segala ajarannya dan membawa risalah ini ke seluruh dunia - iaitu melalui Negara Khilafah ala minhaj nubuwwah - yang akan membawa keberkatan, rahmat dan kesejahteraan.
Ingatlah wahai saudaraku! Dalam keadaan kalian diselubungi kemewahan mahupun penderitaan, Allah SWT tidak akan menghantar para malaikat untuk menubuhkan Negara Khilafah, sebaliknya ia (penubuhan Khilafah) merupakan kewajipan yang wajib diusahakan oleh kalian, sebagaimana ia kewajipan yang telah diusahakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang telah menubuhkan Negara Islam Madinah. Justeru, sediakanlah diri kalian dan bangkitlah menggembleng tenaga bersama Hizbut Tahrir dan berilah sokongan kalian. Carilah limpah kurnia Allah untuk bersama dengan sebuah parti yang berusaha untuk mewujudkan rahmat Allah ke seluruh alam. Moga-moga dengan sokongan kalian, janji Allah SWT untuk memberi kemenangan dan kekuasaan serta khabar gembira yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW bahawa Khilafah akan kembali semula akan dapat direalisasikan, Insya Allah. Wahai kaum Muslimin! Kalian adalah pembawa cahaya kepada alam dan kalian adalah orang yang selayaknya memimpin dunia, dengan Islam.
"Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya" [TMQ al-Anbiya' (21):21].
Subscribe to:
Posts (Atom)
